Muslimat PAS Negeri Sembilan Perkukuh Gerak Kerja Melalui Munajat Harian Sempena PRN Negeri Sembilan

Senawang, 24 Jun 2026 – Program Munajat Harian Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) telah berlangsung dengan penuh penghayatan di Dewan Al Qamar, Senawang, dari jam 7.00 malam hingga 11.00 malam, menghimpunkan jentera Muslimat dalam usaha memperkukuh persiapan menghadapi medan pilihan raya.

Program tersebut menyaksikan pertemuan antara Jentera Muslimat PAS Kawasan Rembau dan Jentera Muslimat DUN Paroi, yang dipengerusikan oleh Ketua Muslimat PAS Rembau merangkap Ketua Muslimat PAS Negeri Sembilan, Hajah Masita Mohamed Ali.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti solat hajat, solat Isyak berjemaah serta sesi munajat memohon pertolongan dan keberkatan daripada Allah SWT dalam menghadapi cabaran kempen PRN.

Turut menyerikan program ialah kehadiran YB Dr Hajah Wan Martina Wan Yusoff, Ahli Dewan Negara, mewakili Muslimat PAS Kelantan yang berkongsi ilmu, pengalaman serta pandangan berkaitan gerak kerja pilihan raya. Perkongsian tersebut memberi suntikan semangat dan keyakinan kepada para jentera Muslimat untuk terus mempergiat usaha membantu kempen di DUN Paroi.

Program ini menjadi medan memperkukuh ukhuwah, menyelaras strategi serta meningkatkan kesiapsiagaan jentera dalam mendekati masyarakat sepanjang tempoh PRN.

Pada penghujung majlis, seluruh hadirin turut bermunajat agar Allah SWT mengurniakan ketenangan hati dan kejernihan fikiran kepada para pengundi di DUN Paroi, serta mempermudahkan segala urusan dalam memilih kepimpinan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat dan negeri.