Program Prihatin Rakyat Mega 3.0 DUN Serting

Jempol, 21 Jun 2025 (Ahad) – Program Prihatin Rakyat Mega 3.0 & Birthday Surprise First Time Voters di DUN Serting telah berlangsung dengan jayanya, menghimpunkan 88 orang sukarelawan daripada pelbagai kaum dan latar belakang dalam usaha menyantuni masyarakat setempat.

Bertempat di Muasasah Darus Saadah, Jempol sebagai lokasi berkumpul, para sukarelawan telah bergerak ke seluruh kawasan DUN Serting untuk menziarahi dan menyampaikan tanda ingatan kepada penduduk yang memerlukan.

Sepanjang program berlangsung, sebanyak 75 buah rumah telah diziarahi melibatkan 182 orang penerima manfaat. Antara golongan yang disantuni termasuk warga emas, pesakit, orang kurang upaya (OKU), anak muda dalam kalangan first-time voters, wanita muda serta golongan pemuda.

Keunikan program kali ini turut menyaksikan inisiatif Birthday Surprise kepada pengundi muda yang pertama kali layak mengundi sebagai simbol penghargaan dan usaha mendekati generasi baharu dengan pendekatan yang lebih mesra dan bermakna.

Program ini bukan sekadar menyampaikan sumbangan dan ucapan, malah menjadi medan mengeratkan hubungan silaturahim, mendengar sendiri denyut nadi rakyat serta menyemai semangat kebersamaan dalam komuniti.

Semoga usaha kebajikan seperti ini terus diperkasakan demi memastikan tiada golongan yang terpinggir, di samping membina masyarakat yang lebih prihatin, penyayang dan saling membantu.